KOTA KINABALU: Menyifatkan khabar angin dan cakap-cakap mengenai kononnya ada ADUN Warisan mahu keluar parti sebagai berniat jahat, presiden parti itu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan perkara tersebut terjadi.
Sebaliknya, kata beliau, Warisan kekal kukuh dan dakwaan itu adalah tidak benar.
Sebelum ini tersebar cakap-cakap mengenai beberapa ADUN Warisan yang dikatakan bertindak keluar parti.
“Khabar angin dan cakap-cakap mengenai kononnya ada Adun Warisan yang mahu keluar parti ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan Warisan.
“Semua Adun Warisan juga sudah mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada parti,” katanya.
Menurut beliau lagi, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) serta wakil rakyat Warisan juga sebulat suara menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Mohd Shafie berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas sesi mesyuarat beliau bersama AMT dan Adun parti Warisan di sini, hari ini.