Tiada adendum dalam rekod kami – BHEUU JPM

pejabat-PMO.jpg

(Gambar hiasan)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan hari ini mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi di bawah BHEUU, JPM.

BHEUU JPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara itu.

Menurutnya, sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.

“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

BHEUU JPM menyatakan bahawa pihaknya sentiasa komited menjalankan tugas sebagai Urus Setia dengan penuh integriti, ketelusan, dan profesionalisme selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang sedia ada.

“Segala urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

BHEUU turut menjelaskan bahawa ia tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang -Undang dan Reformasi Institusi) mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

BHEUU JPM turut menjelaskan prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi dan semua dokumen berkaitan hanya boleh diakses ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung.

“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” katanya.

“Lembaga Pengampunan wujud di semua peringkat negeri dan dipengerusikan oleh Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bagi setiap negeri. Setiap Menteri Besar atau Ketua Menteri turut menjadi anggota Lembaga tersebut.

“Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula, Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh kerana Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dianggap sebagai entiti setaraf negeri, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menjadi anggota Lembaga tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (11) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top