Thailand ‘Halal’ Ganja, Dijangka Beri Kesan Besar Kepada Malaysia

ganja.jpg
Kongsi Bersama

Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand akan menyerahkan cadangan kepada Lembaga Kawalan Narkotik negara itu, bagi mengeluarkan ganja daripada senarai dadah terkawal.

Langkah itu dibuat dalam rangka membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi, selepas menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan ianya digunakan bagi tujuan perubatan, bahan dalam makanan dan kosmetik.

Sebaik diluluskan oleh lembaga itu, cadangan berkenaan perlu diluluskan Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul sebelum ia berkuat kuasa.

Tindakan itu akan membolehkan orang ramai mengakses sepenuhnya ganja tanpa rasa takut akan hukuman penjara yang panjang dan denda yang tinggi, Timbalan Ketua Setiausaha FDA Dr Withid Sariddeechaikool.

Undang-undang baharu ‘menghalalkan’ ganja di Thailand itu dijangka memberi kesan besar kepada Malaysia, khususnya melibatkan penyeludupan dadah menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand.

Sindiket penyeludupan ganja akan mengambil kesempatan membawa masuk dadah itu ke Malaysia apabila pihak berkuasa Thailand tidak lagi mengambil tindakan.

Pada masa ini, individu yang didapati memiliki ganja di Thailand boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun kerana ia dikategorikan sebagai dadah narkotik kategori lima.

“Jika kita dapat membenarkan ganja, kita akan mendapat manfaat daripada semua tumbuhan dan bukan hanya sebahagian daripadanya,” kata Dr Withid.

“Putik bunga dan benih boleh digunakan secara ekonomi dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Thailand telah meneruskan pendekatan sedikit demi sedikit untuk meliberalisasikan ganja, mengekalkan banyak undang-undang yang menyekat penanaman, penuaian dan pengekstrakan tanaman.

Tahun lalu, negara itu meluluskan penggunaan ketum, tumbuhan psikoaktif yang serupa dengan opiat iaitu bahan daripada candu, yang berasal dari negara tropika di Asia Tenggara.

Mengulas perkara ituu, penganalisis Krungsri Research, Chaiwat Sowcharoensuk berkata perubahan undang-undang itu akan membolehkan ganja dibeli, dijual dan digunakan secara bebas.

“Namun bagi penggunaan rekreasi mungkin akan kekal terkawal, kerana ekstrak ganja dengan paras tetrahydrocannabinol boleh membuat orang ramai khayal.

“Pengeluar sabun, produk kecantikan dan kosmetik daripada ganja berkemungkinan menjadi pihak yang paling mendapat manfaat daripada langkah terbaharu itu,” katanya. – Agensi/Agenda Daily

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top