KOTA KINABALU: Tabung Haji Sabah mengedarkan bantuan 100 bakul makanan kepada golongan asnaf dan B40.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata penyampaian tersebut merupakan sebahagian daripada program lawatan kerjanya di Sabah khususnya kawasan pedalaman.
“Pada hari ini, kita bersama Tabung Haji turun ke Sipitang untuk menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf dan B40.
“Seramai 100 orang penduduk Sipitang dipilih menerima bantuan bakul makanan yang bernilai RM100 serta wang tunai RM100.
“Sumbangan ini adalah sebahagian dari RM10 juta sumbangan bakul makanan dan wang tunai di Sabah oleh agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti Tabung Haji.
“Melalui siri program bertemu rakyat seperti ini kita dapat mengetahui secara lebih dekat apa keperluan rakyat”, ujar beliau ketika ditemui media selepas sesi penyerahan bantuan bakul makanan dan wang tunai di Masjid Haji Hashim Pekan Sipitang.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah dan Sarawak Datin Nurlaila Said, Pengarah Tabung Haji Sabah Yusdi Nasip, Pegawai Daerah Sipitang Awangku Raimy Pg. Abd. Rahman, Pengurus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) Selabi Mohammad dan Pengarah Institut Pengajian dan Dakwah Sabah (IPDAS) Muhamad Zamri Muhamed Shapik.