Tetapkan Kuota 30 Peratus Wanita Di Semua Peringkat – Adun Kapayan

jannie_1534232043.jpg

Jannie

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Langkah untuk menetapkan kuota 30 peratus wanita di semua peringkat akan memperkasakan keupayaan wanita selain menjadi sebahagian daripada pembuat dasar dan keputusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang berkata, Sabah belum mencapai sasaran di peringkat nasional dan antarabangsa untuk memiliki sebanyak 30 peratus wanita di pelbagai peringkat dan sektor kerajaan.

Ketua Wanita DAP Sabah ini berkata, proses berterusan melantik wanita yang berkemampuan sebagai pemimpin adat, pemimpin komuniti Cina, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKPP), dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) adalah langkah yang amat penting bagi memenuhi kuota 30 peratus wanita.

“Penyertaan wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan adalah penting untuk pembangunan dan kemajuan negara.

“Usaha ini juga akan meningkatkan pengaruh golongan wanita dalam kerajaan tempatan serta memperkuatkan keupayaan kerajaan, komuniti wanita serta masyarakat awam.

“Latihan advokasi dan kepemimpinan yang melibatkan golongan lelaki dan wanita di peringkat pemimpin turut membantu memperkasakan wanita seterusnya meningkatkan lagi kuota 30 peratus yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jannie berkata, dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menjelaskan kerajaan negeri turut terbuka dengan cadangan pelaksanaan dasar kuota 30 peratus wanita.

Beliau berkata, dalam ucapan penggulungannya, Hajiji berkata, kerajaan memberikan komitmen utama untuk memperkasakan wanita di samping melibatkan golongan berkenaan sebagai pembuat dasar dan keputusan di pelbagai sektor.

Bagaimanapun, pihaknya agak kecewa apabila kerajaan negeri hanya memilih seorang wakil wanita sebagai ADUN Dilantik iaitu Datuk Amisah Yassin.

Katanya, banyak pihak terutama dalam kalangan organisasi dan dan aktivis wanita membuat rayuan agar sekurang-kurangnya dua wanita dipilih sebagai ADUN dilantik memandangkan hanya ada 9.5 peratus ADUN wanita di Sabah. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top