Tetapkan Deadline Isu Tuntutan Royalti Petroleum – Shafie Apdal

Shafie-DUN.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menetapkan ‘deadline’ atau tarikh akhir bagi menggesa kerajaan persekutuan menyelesaikan isu tuntutan bayaran Petroelum kepada Sabah.

Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berkata, jika kerajaan tidak menetapkan tarikh akhir, sampai bila-bila pun tuntutan 20 peratus royalti minyak dan gas seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak akan selesai.

“Kita perlu menetapkan tarikh akhir kerana kita tidak boleh bergantung kepada janji manis dan kajian semata-mata. Sarawak sudah menerima lima peratus hasil cukai produk petroelum melalui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

“Oleh itu, Sabah juga perlu menetapkan tarikh akhir bagi memastikan tuntutan royalti minyak dan gas dapat diselesaikan. Sampai bila kita mahu menubuhkan jawatankuasa?. Sejak zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sekarang masih tubukan jawatankuasa,” katanya.

Beliau mengemukakan persolan itu terhadap Datuk Seri Panglima Hajiji Noor (Bersatu-Sulaman).

Ini masanya untuk kerajaan bangkit menyuarakan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam MA63 demi warisan generasi akan datang.

Katanya, semasa beliau berada dalam jawatankuasa dipengerusikan oleh Perdana Menteri semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan), 17 daripada 21 perkara telah dipersetujui.

“Sekarang ini, kita mahu tanya sejauh mana persekutuan melaksanakan perkara-perkara yang telah kita persetujui dahulu. Bagaimana dengan bidang kehakiman Sabah dan Sarawak, autonomi dalam pentadbiran dan beberapa perkara lain?.

Mohd Shafie juga menggesa kerajaan untuk menyemak semula geran peruntukan khas kepada Sabah yang tertunggak RM50 bilion dan sehingga sekarang belum diberikan.

Menjawab pertanyaan itu, Ketua Menteri Sabah ini berkata, ada beberapa perkara belum ditunaikan dan kerajaan negeri akan cuba memastikan hak-hak Sabah dapat ditunaikan dan dilaksanakan oleh persekutuan.

“Selaku wakil rakyat, semua mahu penyelesaian segera dilakukan terhadap isu-isu MA63 atau urusan berhubung Petroleum. Oleh itu, jika semua wakil rakyat bersama-sama, usaha menuntut hak Sabah itu akan dapat dilakukan dengan penuh ketegasan dan tekad yang cukup jelas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut bertanya jika lesen Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) dibatalkan, bagaimana dengan 200, 000 hektar balak di kawasan milik SFI itu?.

“Difahamkan pokok-pokok di kawasan itu akan ditebang dan kayunya akan dieksport keluar negara.

“Kayu yang ada di Sabah seharusnya digunakan oleh pengusaha kayu bagi membangunkan industri perkayuan di Sabah,” katanya.

Bagi soalan itu Hajiji menjelaskan, setakat ini kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan atau tindakan bagi mengeksport mahupun penebangan pokok di kawasan SFI.

Malah, lantikan kontraktor juga belum dilakukan. Lesen pembalakan SFI ditamatkan demi kepentingan umum maka, soal eksport belum lagi ada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top