Terima Tawaran Jawatan TPM, Elak Pertembungan Tiga Penjuru, Kata Mubarak Kepada UMNO

TS-Aziz-mubarak.jpg
Kongsi Bersama

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menggesa UMNO menerima tawaran jawatan timbalan perdana menteri (TPM) bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru di antara Perikatan Nasional (PN), BN serta Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata presidennya,Tan Sri  Abdul Aziz Rahman, sekiranya pertembungan tiga penjuru itu berlaku, UMNO tidak akan mampu lagi untuk bangkit selepas tersungkur pada PRU-14 dan kalah buat pertama kali dalam sejarah.

“Sekiranya UMNO menjawat jawatan TPM, ahli-ahli akar umbi berkeyakinan tinggi untuk menghadapi PRU ke-15 kerana kedudukan mereka lebih terjamin.

“Pada masa sama, ia akan menamatkan spekulasi wujudnya usaha untuk UMNO menjalinkan kerjasama dengan PH yang mana kebanyakan orang Melayu tidak boleh terima hal ini,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Aziz, kepemimpinan tertinggi UMNO perlu bersetuju dengan tawaran jawatan TPM itu demi memperkasa semula hala tuju parti menjelang PRU akan datang.

UMNO juga katanya harus mengutamakan kelangsungan “politik Melayu-Islam.”

Isu jawatan TPM kembali diperkatakan sejak kebelakangan ini apabila kepemimpinan PN dikatakan mahu memberikan jawatan itu kepada UMNO, dan perkara itu pun dikatakan akan dibincangkan oleh kepemimpinan tertinggi UMNO.

Ura-ura itu menerima reaksi pelbagai, baik dari dalam UMNO sendiri mahupun penganalisis politik.

Ia juga berlaku ketika beberapa ahli parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri.

Majlis Tertinggi UMNO pula meluluskan usul dibawa pimpinan parti di peringkat akar umbi untuk menamatkan hubungan dengan Bersatu. Usul tersebut menunggu masa untuk diluluskan dalam perhimpunan tahunan parti berkenaan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top