‘Terima Kasih KM’: Selepas 13 Tahun Permohonan Tanah SJK (C) Chung Hwa Tamparuli Akhirnya Lulus

george-tan.jpg

George Teo

Kongsi Bersama

TUARAN: Permohonan tanah SJK ( C ) Chung Hwa Tamparuli sejak 13 tahun lalu akhirnya diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK ( C ) Chung Hwa Tamparuli, George Teo mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri sambil mensifatkannya sebagai hadiah buat sekolah.

“Ia menunjukkan Hajiji prihatin dengan kebajikan pendidikan, sekolah dan pelajar Cina,” katanya.

Menurut Teo, sekolah itu yang ditubuhkan pada tahun 1940 telah memohon tanah terbabit pada 2009 tetapi mendapat beberapa bantahan daripada Majlis Daerah Tuaran kerana sebahagian daripada tanah itu sebelum ini adalah lurang.

“Bagaimanapun, majlis daerah sudah menutup lurang itu kira-kira pada tahun 2000 dan mengalihkannya ke tempat lain, sekaligus menjadikan tanah itu terbiar.

“Memandangkan tanah itu hanya berada di sebelah sekolah, pihak pengurusan sekolah membuat keputusan untuk memohon tanah itu dan pada masa sama membantu menjaga lot berkenaan termasuk menggaji pekerja untuk memotong rumput,” katanya.

Teo berkata tanah itu akan digunakan untuk meluaskan kawasan bangunan sekolah serta program Serasinya.

“Serasi merupakan satu program pendidikan bertujuan untuk menggalakkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar. Di bawah program itu, pelajar akan berpeluang belajar berkebun dan landskap, antara lain.

“Keprihatinan Ketua Menteri dapat dimanfaatkan dalam inisiatif sekolah untuk memupuk pelajar mencintai dan menjaga alam sekitar,” katanya.

“Bagi pihak pengurusan sekolah, ibu bapa, guru-guru, murid-murid dan warga Tamparuli, ‘hadiah’ Hajiji kepada sekolah amat dihargai,” katanya sambil menambah, masyarakat Cina turut berterima kasih atas keprihatinan Ketua Menteri itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top