Terengganu Mencari Inspirasi Di Sabah

Rombongan-Tganu.jpg

Rombongan Jabatan Pelancongan Terengganu diketuai Fadli Yusof Zakaria (tengah) ketika melawat Kampung Lingga untuk mengetahui secara langsung bagaimana pelancongan berasaskan komuniti dijalankan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah telah menjadi contoh dan sumber inspirasi kepada negeri lain yang berminat untuk memajukan segmen pelancongan komuniti luar bandar mereka.

Baru-baru ini, rombongan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu diketuai pengarahnya Fadli Yusof Zakaria, mengadakan lawatan ke Sabah, di mana mereka berpeluang mengunjungi Kiulu untuk mempelajari secara langsung bagaimana pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) dijalankan.

Mereka melawat Kampung Lingga, di mana penduduk kampung mengusahakan laluan trekking Bukit Dapako dan tapak perkhemahan eko-pelancongan Lingga.

Mereka juga mengunjungi Pusat Rekreasi Kampung Bambangan Lama yang diusahakan oleh komuniti wanita kampung itu.

Perusahaan pelancongan tersebut mempunyai pondok penginapan, tapak perkhemahan dan laluan trekking yang diwujudkan oleh komuniti wanita sendiri.

Wakil Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) turut hadir memberi taklimat kepada rombongan itu mengenai sejarah kewujudan tempat pelancongan di Kiulu dan pulangan ekonomi kepada penduduk kampung sebagai sumber pendapatan kedua.

Fadli berkata lawatan tersebut membolehkan mereka melihat secara dekat penskrukturan CoBT yang lebih teratur dan sistematik dengan penglibatan komuniti setempat secara menyeluruh yang membuatkan konsep CoBT di Kiulu berjaya.

“Jabatan Pelancongan Terengganu juga mendapati bahawa kolaborasi antara pengusaha CoBT dan persatuan pelancongan dapat menyumbang kepada pengukuhan organisasi, selain dari mempelbagaikan kaedah promosi, termasuk penganjuran pelbagai acara di sesuatu komuniti tersebut,” katanya.

Tambah beliau, seperti di Sabah, Kerajaan Negeri Terengganu turut melihat CoBT mempunyai potensi besar untuk dipasarkan dalam memberkan pelancong dan pengunjung produk baharu yang menyajikan pengalaman percutian yang unik dan menarik.

“Sabah adalah lebih maju daripada segi pelaksanaan CoBT kerana telah memulakannya sejak tahun 2014, jadi Jabatan Pelancongan Terengganu amat berharap agar pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dapat membantu pihak kami dalam memajukan produk-produk CoBT di Terengganu.

“Produk-produk CoBT di Terengganu mempunyai keunikan tersendiri, dan begitu juga di Sabah. Menerusi lawatan pembelajaran ke Sabah ini, kami mendapati terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bersama antara STB dan pihak Pelancongan Terengganu terutamanya dari segi promosi,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pelancongan Terengganu mula memberi tumpuan kepada segmen CoBT pada tahun 2021 dan sehingga kini telah mengenalpasti sebanyak 28 CoBT di seluruh lapan daerah negeri itu.

Sebanyak 15 CoBT yang dikenalpasti telah bersedia untuk dipasarkan, antaranya adalah Dataran Batu Putih di Marang dan Kalang Warisan di Kuala Terengganu.

Sementara itu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri merangkap pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata Sabah dan Terengganu boleh saling belajar antara satu sama lain bagaimana untuk meningkatkan lagi industri pelancongan bagi menarik pengunjung dari kedua-dua negeri tersebut.

“Kami berbesar hati apabila Terengganu mengambil Sabah sebagai inspirasi dalam inisiatif mereka untuk membangunkan produk CoBT dan memperkasa komuniti luar bandar mereka.

“Pelancaran laluan penerbangan terus Kota Kinabalu-Kuala Terengganu baru-baru ini juga menunjukkan betapa pentingnya untuk Sabah dan Terengganu bekerjasama bagi merealisasikan matlamat pelancongan masing-masing.

“Saya percaya pihak STB dan Jabatan Pelancongan Terengganu boleh berkolaborasi untuk menggalakkan pengendali CoBT melawat satu sama lain. Ini membolehkan mereka membina hubungan profesional dan bertukar pengetahuan serta pengalaman,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top