Tengku Zafrul Patut Jadikan Daerah Miskin di Sabah Anak Angkat, Bukan Kuala Selangor – Bekas CEO Badan Pemikir Sabah

johan-ariffin.jpg

Johan Ariffin

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) badan pemikir Sabah mengkritik Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz kerana menjadikan Kuala Selangor sebagai “daerah angkat” di bawah Kementerian Kewangan.

Datuk Johan Ariffin Samad menyifatkannya sebagai “karut” kerana ia bukanlah daerah termiskin di negara ini.

Beliau berkata, sebagai “menteri kewangan untuk negara”, Tengku Zafrul sebaliknya perlu memberi tumpuan terhadap negeri miskin seperti Sabah.

Memetik laporan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beliau berkata, Sabah menempatkan lapan daripada 10 daerah termiskin dan lebih memerlukan untuk dijadikan sebagai daerah angkat berbanding Kuala Selangor.

Daerah itu ialah Pitas, Kudat, Kota Belud, Beluran, Tongod, Nabawan, Telupid dan Kota Marudu.

Tengku Zafrul

“Idea untuk menjadikan kawasan maju di Selangor sebagai daerah angkat nampak ‘mengarut’,” kata Johan yang juga bekas ketua Institut Kajian Pembangunan (IDS).

Beliau menegaskan, ini adalah kali pertama seorang menteri persekutuan mencadangkan untuk menjadikan kawasan tertentu sebagai daerah angkat di bawah portfolionya.

“Mengapa perlu salurkan lebih banyak sumber di Selangor yang telah kaya? Nampaknya beliau kelihatan tidak tahu yang mana lebih penting.

“Menteri kewangan harus menggunakan sumber persekutuan untuk membantu rakyat di daerah termiskin di Malaysia dan bukan kawasan kegemarannya,” kata Johan yang juga anggota G25.

Katanya, Sabah perlu berdepan banyak masalah infrastruktur yang menyumbang kepada tahap kemiskinan yang tinggi dan itu sepatutnya menjadi tumpuan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, menteri persekutuan dari Sabah harus menyatakan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan menuntut lebih banyak bantuan pembangunan kepada daerah termiskin di negeri itu.

“Mereka tidak harus berdiam diri,” katanya.

Isnin lalu, Tengku Zafrul yang dikhabarkan mengintai kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dengan spekulasi akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor berkata, beliau mahu kementerian itu menjadikan ia sebagai daerah angkat bagi membantunya membangun.

Sumber: FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top