Tengku Zafrul Antara Menteri Dilapor Bantah Rumah RM100 Juta Najib

najib.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Beberapa menteri termasuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dikatakan antara yang membantah tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk meluluskan pemberian tanah premium dan rumah mewah kepada Datuk Seri Najib Razak.

Portal MalaysiaNow melaporkan, sumber yang rapat dengan beberapa anggota Kabinet memberitahu selain Tengku Zafrul, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Bersatu, Khairy Jamaluddin (UMNO) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas), turut menyuarakan bantahan.

Namun tidak ada pengesahan yang diperoleh daripada mereka berhubung bantahan tersebut.

Terdahulu Tengku Zafrul sewaktu menggulung perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat mengesahkan, kerajaan menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Najib dalam reaksi balasnya di Facebook mendakwa ia adalah propaganda untuk menghasut rakyat Melaka membencinya.

Katanya, beliau bukan meminta hadiah RM100 juta daripada kerajaan atau menyuruh kerajaan berbelanja untuk membeli tanah, tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas Perdana Menteri.

“Office saya cuma mohon diberi kediaman selepas PRU14 seperti dalam akta dipinda dia (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Kerajaan beri tiga bidang tanah kerajaan untuk pilih maka saya pilih satu. Tanah kerajaan dekat Dewan Bahasa dan Pustaka sebab keluarga saya rasa lokasi itu paling sesuai bagi mereka.

“Bukan sudah diluluskan kerajaan hari ini pun. Bukan saya minta hadiah RM100 juta dari kerajaan atau suruh kerajaan belanja untuk beli tanah tetapi kediaman seperti diberi kepada kesemua bekas-bekas Perdana Menteri,” katanya.

Sumber: Astro Awani


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top