KOTA KINABALU: Operasi kedai makan dan restoran harus dipanjangkan selama satu jam lagi untuk membolehkan pengendali menampung kerugian, kata Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS).
Presiden FCAS Tan Sri T.C. Goh mencadangkan agar waktu perniagaan yang ada untuk restoran dan kedai makan di negeri ini dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam dan bukannya pukul 6 pagi hingga 9 malam semasa di bawah fasa kedua Pelan Pemulihan Nasional (PPN).
“Ini akan membolehkan pengendali menampung kerugian yang mereka alami semasa penutupan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (11 Julai).
Goh menyokong sepenuhnya keputusan dan dasar kerajaan negeri yang membenarkan ‘dine-in’ di restoran dan kedai makan yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada hari Sabtu lepas.
Dalam pada itu beliau meminta Kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menerima keputusan Sabah untuk membenarkan ‘dine-in’, tanpa syarat.
Goh, yang juga anggota Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (NEAC), mengulangi bahawa “keputusan autonomi” kerajaa negeri berkenaan dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk rakyat dan perniagaan, harus dihormati dan diterima sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
“Oleh kerana Kerajaan Sabah sekali lagi mengulangi keputusannya untuk membenarkan ‘dine-in’, maka Kerajaan Persekutuan tidak harus menghalang keputusan itu.
“Kita juga berharap agar badan-badan penguatkuasaan di negeri ini dapat berkoordinasi dengan lebih baik satu sama lain, untuk mengelakkan konflik dan perselisihan ketika menjalankan tugas mereka,” tambah Goh.
Beliau juga meminta rakyat Sabah untuk terus mematuhi sepenuhnya SOP dan mendapatkan vaksin di bawah Program Imunisasi Nasional, sehingga Sabah dapat beralih ke Tahap 3 PPN secepat mungkin.