PADANG SERAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melihat secara terperinci dan menyeluruh bagi memanjangkan tempoh untuk mengadakan Pilihanraya selepas Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menyifatkan tempoh 60 hari yang digunapakai ketika ini dilihat agak singkat terutama bagi pihak SPR melakukan persiapan yang terbaik.
Tambah beliau, pertambahan jumlah pengundi terutama selepas pendaftaran secara automatik dan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, mewajarkan tempoh berkenaan dipanjangkan.
Perkara itu jelasnya, bagi menyediakan persiapan yang baik serta selesa terutama membabitkan penyediaan tempat mengundi, saluran mengundi serta petugas-petugas pilihan raya.
“Kita akan cuba panjangkan (tempoh 60 hari itu) sebab tempoh ini kita lihat sehingga sekarang agak sempit (atau pendek sekiranya berlaku kes kematian calon seperti di DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai).
“(Ianya juga ditambah dengan beberapa keadaan) termasuk penambahan (jumlah pengundi) yang banyak (iaitu) daripada 14.9 juta (pengundi pada 2018) yang meningkat kepada 21.1 juta (untum tahun ini).
“Kita (sedar keputusan) sebelum ini (dengan memperkenalkan) Undi18 akan (membuatkan jumlah) meningkat setiap tahun, (fan jumlah itu) akan bertambah dan terus bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir meninjau pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Padang Serai pada Rabu.
Berdasarkan Artikel 55(4) Perlembagaan Persekutuan, satu Pilihan Raya Umum wajib dijalankan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran bagi memilih wakil-wakil Dewan Rakyat
Manakala, sidang Parlimen yang seterusnya pula wajib dilaksanakan dalam tempoh 120 hari dari tarikh pembubaran tersebut.