Tempat Makan Terbuka Idea Baik – Bekas Timbalan Menteri

mamak-stall-seating-tea-terak.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Cadangan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak supaya pengusaha kedai makan dibenarkan meletakkan meja di luar premis mereka semasa tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mendapat reaksi yang bercampur-campur.

Najib berkata, risiko jangkitan Covid-19 boleh dikurangkan sebanyak 20 kali ganda jika pelanggan makan di luar premis restoran, sekali gus menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) membenarkannya.

Berikutan itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, ruang terbuka boleh mengurangkan jangkitan titisan cecair secara drastik.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan Najib bahawa risiko jangkitan berkurang sebanyak 20 kali ganda.

“Ini (makan di tempat terbuka) adalah idea yang baik. Saya berharap Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan cukup berani untuk melaksanakannya,” katanya kepada FMT.

Pada masa ini, pengusaha restoran boleh didenda oleh majlis tempatan sekiranya mereka meletakkan meja di luar premis.

Lee juga berkata, pihak berkuasa harus fleksibel dalam menguatkuasakan dasar berkaitan Covid-19.

“Kita berdepan perjuangan jangka panjang dengan virus ini. Justeru majlis tempatan dan pembuat dasar perlu mempunyai pendekatan baru dalam melaksanakan undang-undang,” katanya, selain menambah bahawa PBT perlu menyediakan garis panduan berhubung penggunaan ruang awam oleh restoran.

Beliau mengkritik peraturan PKPB yang membenarkan hanya 2 pelanggan berada di 1 meja.

“Meja ada banyak saiz. Buat peraturan lebih mudah seperti menetapkan syarat jarak antara kerusi mesti 3 kaki tanpa mengira saiz meja.”

Beliau juga menggesa kerajaan melarang sajian makanan secara bufet layan diri.

“Ini adalah idea yang buruk kerana boleh menyebabkan penularan. Makanan di restoran mesti disajikan secara individu.”

Bagaimanapun Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, T Muthusamy berkata, ruang terbuka akan menambahkan beban kepada pengusaha restoran.

“Terdapat banyak syarat berkaitan kebersihan yang tidak mudah untuk dipatuhi restoran,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau juga bimbang akan berlaku kesesakan sekiranya pengusaha dibenarkan menyediakan meja di luar premis mereka.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top