NABAWAN: Dalam usaha meningkatkan ekonomi luar bandar, khususnya menyediakan perkhidmatan kepada para usahawan setempat, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN Nasional) melebarkan sayapnya ke kawasan Parlimen Persiangan.
Susulan itu agensi tersebut membuka pejabatnya di sini dan perasmian Pejabat TEKUN Cawangan Pensiangan itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Bennedick, semalam.
Menurut Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arther Joseph Kurup pembukaan pejabat TEKUN itu merupakan satu inisiatif untuk memberi lebih khidmat dan bimbingan kepada para usahawan tempatan khususnya di kawasan Nabawan, Pegalungan, Sook dan Tulid di dalam Parlimen Pensiangan.
“Usaha telah dibuat sejak beberapa tahun lalu untuk membawa khidmat TEKUN ke kawasan parlimen ini dan hari ia menjadi kenyataan,” katanya.
Pada majlis ini juga berlangsung penyerahan cek pembiayaan kepada 20 orang penerima di kawasan Parlimen Pensiangan berjumlah keseluruhan RM118,000.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ewon kerana merasmikan pejabat yang bertempat di Bangunan SEDCO, di sini, Arthur turut menyatakan penghargaan kepada seluruh pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya kepada TEKUN Nasional.
Dalam pada itu beliau juga menyatakan pandangannya tentang keperluan untuk menambah perkhidmatan bank di pekan ini.
“Walaupun kini ada Agrobank dan Bank Bergerak BSN maka ia tidak mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan pada musim sibuk.
“Menteri KUSKOP telah setuju untuk berusaha membawa perkhidmatan dari Bank Rakyat ke mari,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya akan terus mengusahakan pelbagai kaedah yang inovatif untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di kawasan ini.