PENAMPANG: Penduduk di sekitar kawasan banjir dinasihatkan berpindah ke kawasan lebih selamat ketika berlakunya hujan lebat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata kerajaan sedang melakukan segala yang mungkin untuk menyiapkan projek tebatan banjir termasuk dua yang sedang dijalankan di Penampang dan Putatan.
“Malangnya, kerja-kerja ini hanya akan siap dalam beberapa tahun dan kita menjangkakan keseluruhan kerja-kerja tebatan banjir akan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun.
“Dalam pada itu, saya menggesa penduduk yang tinggal di sekitar kawasan mudah berlaku banjir membuat perancangan untuk berpindah ke kawasan lain ketika hujan lebat,” katanya.
Jeffrey berkata demikian semasa lawatannya ke Pusat Kebudayaan Penampang pada Isnin di mana 13 keluarga ditempatkan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air ketika hujan lebat pada Ahad.
Beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dengan peningkatan air sungai.
Beliau juga tidak menggalakkan pemilik tanah membina rumah terlalu dekat dengan sungai yang mudah dilanda banjir.
“Musim hujan baru bermula dan menurut Jabatan Meteorologi, hujan lebih banyak dijangka sebelum akhir tahun ini.
“Cuaca semakin tidak menentu akibat kesan perubahan iklim. Marilah kita bekerjasama untuk mengelakkan kerugian harta benda,” kata Jeffrey yang membuat lawatan mengejut ke pusat itu.
Beliau diiringi pegawai daerah Penampang Francis Chong, pegawai jabatan kebajikan, jurutera daerah Ir Irene Choo, ketua polis daerah Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim dan Senator Datuk Ambrose Dumpangul.
Beliau turut diberi taklimat mengenai keadaan banjir di lapangan oleh Chong di pusat bencana alam daerah dan langkah-langkah yang diambil untuk membantu mangsa.