Team JJ Giat Bantu Bersihkan Rumah Penduduk Yang Terjejas Akibat Banjir

Jamawi1-1.jpg
Kongsi Bersama

KEMABONG: Satu pasukan yang dikenali sebagai Team JJ  berganding bahu membantu penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini untuk membersihkan rumah mereka yang terjejas oleh bencana banjir baru-baru ini .

Lebih dari 30 orang anak muda yang diketuai oleh Pengerusi Sabah Urban Development  Corporation Sdn Bhd (SUDC) Jamawai Jaafar  secara sukarela bergerak dari kampung ke kampung di kawasan Kemabong membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Menurut Jamawi yang juga Ketua Belia USIA Sabah tidak semua keluarga mempunyai kudrat untuk membersihkan kediaman yang dikotori banjir lumpur kerana ada yang terdiri daripada golongan tua serta mereka yang mempunyai anak kecil,

“Bencana banjir yang melanda negeri ini khsusnya di kawasan Kemabong memberi kesan buruk kepada mangsa yang terjejas terutama kerosakan harta benda yang menyebabkan mereka mengalami kerugian ribuan ringgit.

“Jadi, inisiatif kami membantu membersihkan rumah mereka adalah usaha kecil bagi meringankan beban yang ditanggung , selain bantuan keperluan makanan dan air minuman,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai Team JJ membersihkan rumah penduduk di kampung  Kuala Tomani kemarin.

Sebuah rumah yang musnah dalam kejadian banjir di kampung Kuala Tomani.

Jamawi yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom  berkata  banjir besar yang berlaku kali ini tidak akan dilupakan terutama bagi mereka yang tinggal di beberapa buah kampung di Kemabong sehingga ada penduduk yang gagal menyelamatkan harta benda kerana air naik mendadak.

“Banjir bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda tetapi turut berkait rapat dengan emosi. Melihat keadaan kediaman yang kucar-kacir, emosi mana yang mampu bertahan. Itu belum ditambah dengan kemusnahan harta benda dan tanaman,” katanya.

Jamawi (tiga dari kiri) bersama isteri (tiga dari kanan) menerima sumbangan pakaian terpakai untuk diagih-agihkan kepada penduduk di kawasan Kemabong.

Justeru menurut Jamawi  bagi meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk yang terjejas semua pihak perlu berkerjasama tanpa mengira fahaman politik.

“Saya berterima kasih kepada mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan kepada pasukan ini dalam bentuk keperluan makanan, air dan pakaian terpakai yang akan kita agih-agihkan kepada penduduk yang terlibat,” katanya.

Jamawi juga turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri di mana Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Nor bersama kepimpinan negeri turut turun  padang melihat keadaan banjir di daerah ini di samping menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top