TAWAU: Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) yang dianggarkan bernilai RM20 juta akan mula dibina pada tahun ini, kata Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata pembinaan TICC merupakan hasrat kerajaan agar Tawau menjadi pusat pengembangan budaya dan bersesuaian menjadi mercu tanda daerah ini yang terkenal dengan penganjuran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).
“Pembinaan TICC telah diluluskan pada 2022 dan lokasi pembinaannya juga telah dikenal pasti oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
“Pembinaan pusat ini antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu kota negara Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan 30 kepala singa sumbangan kerajaan Sabah kepada ketua masyarakat Cina Tawau dan Semporna di sini semalam.
Menurut Nizam, kerajaan Sabah merangka pelbagai usaha dalam memastikan kekayaan budaya yang dimiliki negeri terus dikekalkan sekali gus menjadi daya tarikan pelancong khususnya di Tawau.
Kerajaan negeri, katanya sentiasa berusaha memastikan sambutan perayaan budaya pelbagai kaum di Sabah dapat dijayakan dengan penuh kebersamaan.
Kerajaan Sabah sebelum ini dilaporkan menyumbang kepala tarian singa bernilai RM1.5 juta kepada tokong dan persatuan di negeri ini bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi. – BERNAMA