Tawaran Shafie Mungkin ‘Epal Beracun’ – Pemuda BERSATU

Ceasar-Mandela-Malakun-whatsapp-pic-091020-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Naib Ketua Pemuda Bersatu, Ceasar Mandela Malakun menggesa semua parti berasaskan Kadazan Dusun Murut (KDM) tidak terjerat kepada agenda politik Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang mementingkan dirinya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mandela, mendakwa Shafie menggunakan umpan untuk memecah-belahkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mencetuskan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri.

“Jadi, mereka perlu berhati-hati dengan tawaran untuk berdamai Shafie yang kononnya demi kebaikan Sabah. Mungkin ia adalah epal beracun yang Shafie tawarkan bagi membolehkan dirinya kembali berkuasa.

“Tiada alasan untuk mana-mana parti komponen GRS bekerjasama dengan Shafie dan Warisan kerana ideologi serta pendekatan mereka bertentangan dengan kita,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Shafie menyuarakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan PBS demi kebaikan Sabah dan hak negeri itu.

Susulan itu juga, Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili turut menyuarakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang, termasuk Warisan.

Bagaimanapun, Ongkili selepas itu mengulangi komitmennya untuk terus teguh bersama GRS yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Mandela berkata, rakyat Sabah berpendirian tegas terhadap “kelembutan” Warisan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI), melalui bantahan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan parti itu ketika menjadi kerajaan negeri.

Katanya, rakyat turut menghantar mesej jelas kepada Warisan yang orang Sabah tidak akan menggadaikan negeri itu kepada PATI kerana Sabah milik rakyatnya yang perlu dilindungi demi generasi akan datang.

Beliau berkata, senarai rasa tidak puas hati orang Sabah terhadap Shafie dan kerajaan negeri pimpinan Warisan terdahulu adalah panjang dan diterjemahkan dalam undi pada pilihan raya negeri 2020.

“Majoriti rakyat Sabah mengundi untuk menyingkirkan Shafie dan kerajaan negeri pimpinan Warisan.

“Kita juga tidak boleh lupa pengundi KDM memainkan peranan penting dalam menghancurkan rejim Shafie. Mereka ternyata memandang enteng undi KDM dan terlalu yakin boleh memenangi banyak kerusi di kawasan Orang Asal.” – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top