Tawaran 50 Peratus Saman Trafik Di Semua IPD Di Sabah

saman.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melancarkan tawaran diskaun 50 peratus di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata tawaran terbabit turut berkuat kuasa di IPK Sabah bermula 1 higga 12 November depan.

Katanya pengurangan ini adalah bagi meringankan bebanan orang ramai dalam menjelaskan bayaran saman.

“JSPT memahami kekangan kewangan masyarakat sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“Bagi meringankan bebanan ini, JSPT menawarkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus bagi saman-saman terpilih,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata pemberian diskaun saman adalah tidak terpakai kepada kesalahan tidak patuh lampu isyarat merah, lorong kecemasan, memotong kenderaan secara merbahaya serta memotong di garisan berkembar.

“Antara kesalahan lain yang tidak termasuk dalam pemberian diskaun adalah membabitkan kemalangan, kesalahan yang masih dalam perbicaraan, kesalahan tidak boleh kompaun (non-compound), kesalahan berkaitan lori serta kesalahan pengubahsuaian ekzos,” katanya.

Beliau berkata pembayaran dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang dan orang ramai yang ingin berurusan di kaunter diingatkan agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. – Sabah Focus


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top