Tarikh akhir pembelian dokumen RFP untuk projek solar Sabah pada 26 Jun – ECoS

Datuk-Abdul-Nasser-Abdul-Wahid.jpg

Abdul Nasser

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) semalam mengumumkan 26 Jun ini sebagai tarikh akhir kepada bakal pembida bagi membeli dokumen permintaan untuk cadangan (RFP) membabitkan projek loji janakuasa fotovoltan (PV) solar (LSS) berskala besar “LLS-SABAH2024”.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid melalui satu kenyataan semalam berkata satu sesi taklimat dalam talian akan diadakan pada 1 Julai untuk pembeli dokumen tersebut bagi memudahkan penyerahan bidaan sebelum tarikh akhir menjelang 23 Sept 2024.

“Pembida berpotensi diingatkan bahawa mereka juga dikehendaki melantik kontraktor elektrik dengan kelas PV (sambungan-grid) atau ‘ECCPV(GC)’ yang berdaftar dengan ECoS,”katanya.

Terdapat hanya 15 kontraktor ECCPV(GC) berdaftar, dengan sembilan daripadanya adalah syarikat tempatan Sabah tetapi tidak semua mampu melaksanakan projek solar berskala besar.

Beliau juga telah menyeru semua ECCPV(GC) yang berkelayakan serta kompeten untuk mendaftar dengan ECoS kerana lebih banyak kontraktor diperlukan dalam mengendalikan sejumlah besar projek LSS yang akan dibangunkan di bawah LSS-SABAH2024.

Kontraktor berskala kecil juga diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan bagi menyokong sistem fotovoltan solar bersambung grid yang berterusan untuk program penggunaan sendiri (Selco-PV) Sabah sebagai sokongan selain menyediakan lebih banyak opsyen kepada bakal pemaju.

“Oleh itu, saya menggalakkan kontraktor yang berminat untuk mendaftar awal dengan ECoS, dan saya memberi jaminan bahawa kami akan memudahkan kelulusan tepat pada masanya, tertakluk kepada syarat yang diperlukan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, senarai semasa kontraktor-kontraktor ECCPV(GC) boleh dilihat secara dalam talian melalui — https://ecos.gov.my/content/list-contractors — di bawah kategori tenaga boleh baharu.

Pihak yang berminat boleh melihat dokumen bidaan di ibu pejabat ECoS yang terletak di Aras 10, Plaza Shell, Kota Kinabalu, pada waktu pejabat, manakala maklumat am mengenai bidaan juga boleh diperoleh di laman web https://www.ecos.gov.my/LSS-SABAH2024 atau e-mel kepada LSS-SABAH2024@ecos.gov.my.

ECoS merupakan badan berkanun yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Sabah sejak 10 Jan tahun lepas dan beroperasi sebagai pengawal selia bagi sektor tenaga di bawah portfolio Ketua Menteri. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top