KOTA KINABALU: Dakwaan bahawa MCA dinasihat menarik dari dari pilihan raya negeri (PRN) Sabah hanyalah ‘analisis politik’ yang tidak perlu dilayan.
Demikian kata presiden parti itu Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menepis dakwaan itu, Wee berkata,“Saya tanya pengerusi MCA Sabah tiada…pemimpin utama pun tiada. Jadi, jangan menyamar sebagai pemimpin (Umno Sabah).
“Tak apa…biar mereka cakap. Saya tak menyekat hak mereka untuk membuat analisis,” katanya lagi sebagaimana dilaporkan FMT.
Presiden MCA itu dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun MCA ke-76 di Wisma MCA, Kuala Lumpur.
Tambahnya, adalah perkara biasa wujud percaturan sedemikian dalam arena politik.
“Jadi, macam mana kita tanding (PRN Sabah) dan siapa ‘partner’ itu perlu dimuktamadkan segera.
“Dalam konteks Sabah, masing-masing ingin bertaruh apabila wujud lebih satu parti dalam gabungan. Dan apa penyelesaian akhirnya itu kena kita fikirkan,” katanya.
Pada 11 Feb, FMT memetik sumber berkata, Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding 38 DUN pada PRN Sabah, dengan diwakili Umno serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Menurut sumber itu, MCA dinasihatkan tidak bertanding dan diminta membantu memenangkan calon komponen terbabit.