Tarik Balik Keputusan Tangguh Pembinaan CIQ Kalabakan – Bung Moktar

Bung1.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa menarik balik keputusan menangguhkan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin bernilai RM600 juta di Kalabakan atas alasan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.

Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan tersebut tidak adil kepada rakyat Sabah yang memerlukan pemangkin ekonomi bagi membangunkan kawasan Pantai Timur Sabah agar lebih maju selepas ini.

Tegasnya, keputusan penangguhan yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof itu amat mengejutkan lebih-lebih lagi projek berkenaan telah pun bermula dan berjalan dengan lancar.

“Alasan ini tidak boleh diterima kerana CIQ itu akan membantu lonjakan ekonomi Sabah kesan daripada perpindahan ibu kota Indonesia di Kalimantan.

“Sudah terlalu lama Sabah ketinggalan daripada sektor ekonomi berbanding Semenanjung walaupun hakikatnya kita menyumbang hasil yang banyak kepada negara.

“Tetapi apabila ada projek yang baik diumumkan kerajaan pula tangguhkan atas alasan tiada peruntukan tanpa mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Tambahnya, Sabah tidak boleh dijadikan mangsa kepada kekangan kewangan Kerajaan Persekutuan memandangkan lebih banyak projek pembangunan di Semenanjung sebagai contoh Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) di Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM20 bilion sudah hampir disiapkan.

Katanya Projek CIQ Kalabakan pula sebaliknya jauh lebih murah dan sama pentingnya untuk rakyat Sabah seperti perlunya MRT2 di Semenanjung disiapkan.

“Dengan pembukaan Kalimantan Timur sebagai ibu negara baharu Indonesia, perpindahan rakyat Indonesia dari kepulauan Jawa dijangka berlaku secara besar-besaran, maka tempias ekonomi akan turut melanda Pantai Timur Sabah.

“Tetapi syaratnya ialah kita perlu sediakan kemudahan lebih-lebih lagi Lebuh Raya Trans-Borneo sedang menanti untuk menghubungkan Sabah dengan Kalimantan.

“Jika kerajaan meneruskan penangguhan itu maka Sabah akan terus ketinggalan walaupun peluang sudah terbuka di depan mata kerana infrastruktur yang penting seperti Kompleks CIQ tidak dibina,” katanya.

Kompleks CIQ di Kalabakan jika siap bakal menjadi pintu masuk antara Sabah dan Indonesia melalui Kalimantan Utara.

Projek di Serudong itu merupakan sebahagian daripada projek Jalan Kalabakan-Serudong iaitu salah satu pakej dalam Lebuh Raya Trans-Borneo.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top