KOTA KINABALU: Ahli-ahli dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menangkis segala taktik kotor pembangakang yang cuba menjatuhkan Kerajaan GRS-PH Plus.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pihak pembangkang kini cuba merosakkan imej kerajaan negeri dan kepimpinan parti dengan sebaran fitnah, pelbagai tuduhan dan pembohongan.
“Inilah cabaran semasa yang wajib kita perangi habis-habisan kerana ia boleh meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan dan kepimpinan parti, lebih-lebih lagi dalam era teknologi serba canggih sekarang, dimana media sosial dan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) telah menguasai kehidupan seharian rakyat.
“Segala pembohongan dan fitnah yang ditabur di luar sana, bukan sahaja perlu disangkal bahkan wajar dipatahkan, agar rakyat tidak terus tertipu atau termakan hasutan, hasil perbuatan mereka-mereka yang ingin menjatuhkan kerajaan secara kotor dan tidak bermoral,” katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pemilihan Parti Liberal Demokratik (LDP) 2024, di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, LDP sebagai salah sebuah parti yang mendukung perjuangan GRS, dengan pengalaman serta kebijaksanaan yang dimiliki parti, beliau yakin LDP mampu memainkan peranan yang penting dalam membendung dan memerangi segala dakyah dan taktik kotor yang digembar-gemburkan oleh pembangkang.
“Saya amat yakin dan percaya, bahawa LDP yang kini telah menjangkau usia 35 tahun ini, mampu menyumbang idea dan berkongsi pengalaman, ke arah memantapkan lagi kebersamaan dan kesatuan kita di dalam GRS.
“35 tahun adalah tempoh masa yang agak lama bagi sesebuah parti politik dan LDP harus berbangga kerana mampu bertahan sekian lama, meski pun pucuk pimpinan parti telah silih berganti,” katanya.
Justeru itu katanya, LDP bukan sahaja parti yang versatile tetapi tetap relevan sehingga ke hari ini dengan pengaruhnya yang tersendiri.
Oleh itu katanya, peranan dan pengaruh LDP sangatlah diperlukan bagi memperkukuhkan lagi semangat kebersamaan, kesatuan dan perpaduan dalam GRS. – Penerangan Gagasan Rakyat