KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diberi jaminan bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran beliau tidak pernah mengeluarkan lesen melombong (mining lease) kepada mana-mana pihak dan sebarang dakwaan bahawa lesen melombong telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.
“Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan prospecting license yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.
™Proses ini adalah langkah awal yang
diperlukan sebelum sebarang permohonan mining lease daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, kata Hajiji, malangnya isu itu telah dijadikan propaganda politik oleh pihak-pihak tertentu dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik.
“Kerajaan Sabah tidak akan tunduk kepada usaha yang berniat untuk menggugat kestabilan politik
negeri,” tegas beliau.
Dalam kenyataan yang sama Hajiji juga
menjelaskan bahawa permohonan kumpulan tersebut melibatkan tanah
yang sangat luas, hampir 1 juta ekar.
” Sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (totally protected areas), kawasan tadahan air, dan kawasan
pemeliharaan.
“Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah
disebarkan sebagai usaha untuk mengancam Kerajaan Negeri.,” katanya.
Hajiji juga menegaskan tuduhan bahawa wakil rakyat meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu ini adalah tidak berasas.
Tambah beliau, perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah.
“Oleh itu, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran,” kata beliau