Bekas menteri pendidikan, yang juga Ahli Parlimen Simpang Rengam Dr. Maszlee Malik dilaporkan berjaya mengumpulkan RM110,998.89 daripada orang awam dalam tempoh 24 jam selepas melancarkan ‘Crowd Funding’ Bantu Siswa Terkandas.
Pungutan sumbangan itu adalah untuk membantu mahasiswa yang menghadapi kesukaran gara-gara kelewatan kementerian pengajian tinggi membuat pengumuman berhubung penangguhan pendaftaran kemasukan pelajar ke IPTA.
Sementara itu Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui parti Mudanya pula berjaya mengutip RM51,145.92 daripada orang awam dalam tempoh tiga jam juga untuk tujuan yang sama.
Mereka mengutip dana dari orang ramai dengan hanya merayu di Twitter.
Tindakan kedua-dua pemimpin itu mendapat pujian daripada warga maya, khususnya para ibu bapa dan para pelajar terbabit.
Pada masa yang sama warga maya juga mengecam kementerian berkenaan, termasuk menterinya yang gagal memberi reaksi balas segera terhadap keluhan mereka yang terkesan dengan kelewatan pengumuman tersebut.