KOTA KINABALU: Penangguhan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Serudong-Kalabakan dikhuatiri akan membuka ruang kepada kemasukan melalui jalan-jalan tikus ke Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau bimbang sekiranya pelaksanaan projek itu ditangguh, rakyat daripada negara jiran akan masuk ke Sabah melalui jalan-jalan tikus.
Apabila perkara sebegitu berlaku maka, sukar untuk Sabah mengawal keadaan.
Justeru, beliau akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai keputusan penagguhan pelaksanaan projek tersebut.
“Bagi kita ini satu projek yang cukup penting dan tidak boleh ditanggguhkan kerana kita bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.
“Projek ini amat perlu bagi Sabah sebagai laluan yang kita boleh gunakan untuk membolehkan mereka (rakyat Indonesia) masuk ke Sabah,” katanya ketika mengulas mengenai penangguhan projek CIQ seperti dimaklumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam persidangan Parlimen.
Beliau berkata demikian selepas majlis sambutan setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.
Hajiji berkata, beliau akan meminta kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keputusan penangguhan tersebut.
Jelas beliau, pembinaan CIQ Serudong-Kalabakan itu perlu diberi keutamaan.
Pada 23 Mac lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjawab secara bertulis soalan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman di Parlimen memaklumkan pembinaan CIQ Kalabakan ditangguhkan berikutan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.
Kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan RM600 juta bagi pembinaan CIQ Serudong-Kalabakan susulan keputusan Indonesia ingin memindahkan pusat pentadbirannya ke Kalimantan Timur