KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) demi kepentingan semua pihak.
Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan CPTPP ini sehingga semua pihak berkepentingan dirujuk dan bersetuju dengan pendekatan yang dicadangkan.
Maka, satu kajian yang mendalam perlu dilakukan untuk mengenal pasti kebaikan dan keburukan perjanjian CPTPP ini dalam konteks perdagangan dan pelaburan Malaysia.
Katanya, sebarang polisi perdagangan yang ingin ditetapkan oleh kerajaan perlu mengambil kira keperluan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti warga tempatan dan bukan hanya mengutamakan penambahan ekuiti perusahaan asing.
“Mana-mana perjanjian perdagangan antarbangsa yang dimasuki oleh negara perlulah menitik beratkan perkara tersebut.
“Tambah merisaukan kerana mengikut data yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari 37.2 peratus pada 2011 kepada 45.3 peratus pada 2015.
“Pegangan ekuiti bukan bumiputera menurun dari 34.8 peratus kepada 30.7 peratus pada tempoh yang sama. Manakala pemilikan ekuiti bumiputera turut jatuh dari 23.4 peratus kepada 16.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Untuk itu, peruntukan-peruntukan perjanjian perdagangan mega ini perlu diperhalusi dengan sebaik mungkin dengan menekankan keperluan untuk mendapatkan perjanjian perdagangan yang bukan sahaja bebas, tetapi perlulah adil.
Rundingan yang ingin dimuktamadkan juga harus mengutamakan aspek perlindungan perusahaan kecil dan sederhana daripada ditindas berikutan lambakan barangan asing di pasaran Malaysia.
Menurutnya, apa yang lebih penting pada masa ini adalah memperkukuhkan ekonomi bagi kaum bumiputera agar jurang ekonomi antara kaum dan antara wilayah dapat dikurangkan supaya pembangunan negara dinikmati dengan lebih saksama.
Atas sebab itu, Ahli Parlimen Semporna itu menyokong penuh cadangan kerjasama yang lebih erat antara peniaga Melayu Semenanjung dan peniaga Bumiputera Sabah dan Sarawak, terutama dalam memperjuangkan isu yang menjejaskan kepentingan Bumiputera.
Katanya, beliau turut menyokong cadangan jalinan persefahaman persatuan perniagaan antara wilayah.
Tambahnya, beliau berpendirian bahawa walaupun dasar afirmatif adalah perlu demi untuk menjaga kepentingan warga bumiputera. Adalah jauh lebih baik sekiranya jalinan perniagaan dan ekonomi antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera juga diperkukuhkan. – Borneo Today