KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tandau menyangkal tanggapan bahawa PRN akan datang di enam negeri menjadi referendum mengenai kerajaan semasa dengan menyifatkan, dakwaan sedemikian berpaksikan Malaya.
Dalam kenyataannya yang dipetik FMT, Tangau berkata, gabungan enam negeri itu merangkumi 45% daripada pengundi negara.
“Mengapa pula keputusan kedua yang mereka buat kini membatalkan keputusan yang dibuat oleh pengundi di semua 13 negeri di Malaysia sembilan bulan lepas?
“Adakah suara 55% pengundi lain di Malaysia – di Sabah, Sarawak, lima negeri Malaya (Semenanjung) dan tiga wilayah persekutuan – yang tidak mengadakan PRN – tidak diambil kira?”
Tangau berkata, Kerajaan Perpaduan disokong 54 daripada 57 Ahli Parlimen Malaysia Timur daripada 11 parti Borneo serta tiga parti nasional, iaitu PKR, DAP dan UMNO.
Tambah beliau, keputusan enam PRN akan menjadi penunjuk yang perlu diberi perhatian oleh Putrajaya, “tetapi penunjuk sedemikian bukanlah referendum”.
Katanya, PRN ini hanyalah menjadi “referendum” perkara yang dibenci pengundi di peringkat negeri dan tempatan.
Dengan mengundi atau memilih tidak mengundi, rakyat Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan boleh memilih untuk menjadikan negeri mereka serupa atau kekal berbeza daripada Kedah, Kelantan dan Terengganu, atau sebaliknya, kata Tangau.
“Dasar-dasar negeri bukan sahaja memberikan kesan pada hak dan kebebasan penduduknya, tetapi juga prospek ekonomi, terutamanya dalam pelaburan dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, tanggapan bahawa PRN ialah referendum tentang kerajaan semasa berbaur majoritarianisme.
Katanya, majoritarianisme ialah fahaman bahawa seseorang berhak lebih dihormati dan mendapat lebih banyak hak jika mereka sebahagian daripada majoriti. Pemikiran sedemikian adalah berbahaya, tambahnya.
Pemikiran sedemikian boleh membawa kepada perang angka antara pemimpin politik dan agama dalam mempengaruhi pengundi.
“Dan ini mungkin sebabnya PN mahu menggambarkan PRN enam negeri ini sebagai referendum nasional. Mereka hanya terdesak untuk (memperoleh) kuasa,” katanya.