KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Darell Leiking melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan peningkatan harga barangan dari Semenanjung Malaysia akibat banjir besar yang berlaku.
Situasi ini sudah pasti akan menjejaskan pengguna berpendapatan rendah kerana harga barangan dijangka meningkat antara 10 hingga 15 peratus.
Barangan yang dijangka mengalami peningkatan harga termasuk bahan makanan diproses, alat ganti kenderaan dan barangan elektrik.
“Setiap kali banjir besar berlaku di mana-mana negara di dunia, ia akan mengakibatkan rantaian bekalan barangan terjejas terutama bagi sektor pembuatan dan logistik.
“Permintaan mendadak bagi alat ganti kenderaan akan berlaku namun, pengilang sendiri tidak dapat beroperasi maka, situasi ini akan mewujudkan peningkatan harga barangan.
“Pihak yang alami kerugian adalah Sabah kerana kita tidak mengeluarkan alat ganti kenderaan sendiri, kita terlalu bergantung kepada pengeluar di Semenanjung Malaysia.
“Maka, apabila permintaan tinggi, kos perkapalan dan logistik di daratan akan bertambah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memastikan harga barangan sentiasa terkawal dan kerajaan perlu bekerjasama dengan komuniti peniaga terutama peniaga yang bergantung kepada bekalan daripada Semenanjung Malaysia termasuk pengedar dan perusahaan mikro.
“Jika kenaikan harga berlaku, Ketua Menteri dan Jemaah Kabinet tidak seharusnya menyalahkan peniaga atau pembekal kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan yang diberikan kuasa untuk menangani masalah kenaikan harga melalui kerjasama, pemantauan dan penguatkuasaan bersama semua pihak pemegang taruh.
“Pada akhirnya, rakyat Sabah yang akan menjadi pengguna akhir yang seharusnya dilindungi,” jelasnya.
Sebarang kenyataan daripada Ketua Menteri mahupun menteri bertanggungjawab tidak akan memberi kesan kepada komuniti perniagaan sekiranya langkah pencegahan tidak diambil lebih awal.
Dalam pada itu, Darell turut menggesa kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas bagi memastikan kajian dan rekomendasi berhubung isu banjir di Sabah seperti yang tertera dalam manifesto Warisan. Hasil kajian itu akan dikemuka kepada kerajaan negeri dari masa ke semasa.
“Isu banjir atau tanah runtuh di Sabah harus dilihat di luar konteks politik kerana ia membabitkan nyawa dan harta benda keluarga, saudara-mara dan juga rakan-rakan yang mungkin tidak berminat dengan politik. Atas sebab itu, kita perlu melaksana tugas bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan baik mahupun di selesaikan biarpun bukan sepenuhnya,” katanya.
Selaku pembangkang yang bertanggungjawab, Warisan akan menubuhkan jawatankuasa ini bagi memastikan semua pihak berkaitan akan memantau isu banjir di Sabah.
Di samping itu, mereka boleh memantau pencapaian kerajaan terutama dalam menangani aktiviti pemotongan bukit, penambakan laut, pengurusan sistem saliran di kawasan berisiko banjir dan faktor lain yang menyebabkan banjir kilat.
Malah, sejak banjir kerap berlaku di Sabah, beberapa pemimpin Warisan sudah mengemukakan cadangan kepada agensi kerajaan dan kementerian berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Jabatan Geologi.
Tiada keperluan menugaskan dua jabatan di bawah kementerian yang sama untuk menguruskan isu banjir sebaliknya, kerajaan perlu mempunyai perancangan dengan melantik pakar yang boleh menjalankan kajian mengenai pergerakan tanah dan air.
Pakar itu akan bertanggungjawab memberi nasihat kepada kerajaan mengenai langkah menangani banjir. Jadi, kerajaan tidak terlalu bergantung kepada jurutera daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) semata-mata.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog berkata, kerajaan negeri perlu memastikan isu banjir di beri keutamaan agar insiden yang berlaku di Kampung Sugud Penampang pada 16 September lalu tidak berulang.
Mengulas lanjut, Darell berkata, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak memikirkan mengenai masalah banjir semasa musim kering walhal, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir terdedah kepada ancaman yang berpunca daripada kerja-kerja pemotongan bukit, penambakan tanah dan perubahan iklim.
Atas sebab itu, beliau mahu peruntukan pembangunan di Sabah digunakan bagi mengatasi banjir terlebih dahulu kerana banjir bukan hanya menjejaskan nyawa manusia tetapi juga, ekonomi dan pelaburan di negeri ini.
“Saya percaya banyak cadangan berkaitan langkah tambahan mengatasi banjir boleh diberikan kepada kerajaan negeri dan PBT.
“Perubahan iklim akan menyebabkan kekerapan hujan berlaku dan kita sudah berhadapan dengannya tahun ini dan tahun depan mungkin berlaku perkara yang sama dimana, musim banjir dan banjir kilat akan terus berlaku,” ujarnya.
Dengan itu, kerajaan negeri perlu memberi keutamaan bagi mengatasi masalah banjir di Sabah dengan kadar segera.