Tanding secara solo?: Parti belum putuskan – DARD

DARD.jpg

KOTA KINABALU: Sebarang kenyataan mengenai kerjasama UMNO dan BN Sabah dengan parti lain atau bertanding secara solo pada pilihan raya negeri akan datang bukanlah merujuk kepada keputusan parti.

Ini kerana kepimpinan UMNO dan BN belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Ia juga tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri yang diadakan, baru-baru ini.

Menegaskan mengenai perkara itu Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (DARD), berkata, belum ada perbincangan rasmi sama ada gabungan itu akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah atau bertanding secara bersendirian.

“Tidak ada perbincangan mengenai siapa yang akan menyertai kami, dan kami juga tidak membincangkan berapa banyak kerusi yang diminta oleh Umno dan sebagainya. Tidak ada perbincangan seperti itu.

“Jadi, setakat yang saya tahu, sebagai timbalan pengerusi Umno Sabah, kami berada dalam keadaan di mana perbincangan antara kami dan kepimpinan pusat masih berjalan. Terdapat banyak dinamika yang berlaku sepanjang hari. Setiap hari ada perkembangan baharu,” katanya.

Ketua bahagian Umno Tuaran itu mengakui keperluan parti untuk membuat keputusan segera dan yakin bahawa ahli parti akan mematuhi keputusan kepimpinan.

Terdahulu sebuah portal berita mendakwa bahawa Barisan Nasional Sabah berkemungkinan akan bergerak secara solo dan bertanding di 38 daripada 73 kerusi dalam pilihan raya negeri tahun ini, dengan sasaran untuk memenangi 27 kerusi bagi mendapatkan kelebihan dan menuntut jawatan ketua menteri.

Memetik sumber tanpa nama, laporan itu menyatakan bahawa BN Sabah hanya akan memutuskan mengenai pakatan untuk membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya.

Bagaimanapun, Abdul Rahman menafikan dakwaan itu, sambil menegaskan bahawa realiti politik semasa menunjukkan bahawa sebuah gabungan mungkin diperlukan untuk memenangi pilihan raya negeri.

“Tetapi terdapat faktor tertentu yang perlu kita pertimbangkan. Namun akhirnya, saya bersetuju bahawa cepat atau lambat, keputusan mesti dibuat kerana masa adalah faktor penting. Semakin lama kita menunggu, akar umbi akan menjadi semakin gelisah. Jadi, saya berpendapat bahawa keputusan harus dibuat secepat mungkin,” katanya.

Abdul Rahman berkata, mereka akan membincangkan perkara itu dengan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semasa lawatannya ke Sabah pada 23 Februari, di mana parti itu akan menyambut ulang tahun ke-34 penubuhannya di negeri ini dalam satu acara di Tawau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top