KENINGAU: Orang ramai khususnya para petani dan peladang di negeri ini diingatkan untuk tidak menerima sebarang cadangan atau tawaran dari pihak-pihak tertentu bagi mengusahakan tanaman guarana kerana ianya masih diharamkan di Sabah.
Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, tanaman tersebut sudah lama diharamkan kerana ianya merupakan tumbuhan pemusnah.
“Guarana masih diharamkan di Sabah kerana ianya membawa kemusnahan kepada industri tanaman getah.
“Di Brazil, guarana adalah tanaman mereka dan apa yang kita ketahui, akibat daripada penanaman guarana ini, tanaman lain terutama getah di sana sudah lama pupus dan kita tidak mahu ianya berlaku di Sabah, “ jelas beliau kepada media.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi, terdapat beberapa siri ceramah atau aktiviti menjual benih guarana dijalankan oleh pihak tertentu dan beliau meminta agar orang ramai tidak terpengaruh.
“Getah adalah komoditi yang sangat penting untuk ekonomi Sabah dan jangan terperangkap dengan tawaran-tawaran pihak tertentu dari luar mengenai keperluan menanam guarana ini.
“Kerajaan masih mengharamkan penanaman Guarana,” katanya lagi.