Tan Sri Ampong Puyon Tokoh Maal Hijrah Sabah 1443 H

TS-ampong-puyon.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Labuk-Sugut, Tan Sri Ampong Puyon,82, dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1443H peringkat negeri Sabah pada tahun ini.

Pada majlis ringkas yang diadakan secara maya pagi semalam memperlihatkan rakaman awal tokoh Maal Hijrah ini menerima sijil penghargaan dan juga wang tunai RM25,000.

Ayah kepada empat orang anak ini pernah dianugerahkan sebagai Tokoh 1Malaysia sempena ‘Perayaan Hari Malaysia 2009 dan Sambutan 52 Tahun Kemerdekaan’.

Beliau mula terlibat dalam bidang politik mewakili Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan kemudian UMNO bermula pada 1978 selaku Ahli Parlimen Labuk-Sugut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut pada 1985-1986 dan ADUN dilantik pada 1964 hingga 1972 dan 1999 hingga 2004.

Beliau juga aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Persatuan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA).

Selain itu, beliau turut memegang jawatan penting dalam beberapa agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejak 1989 hingga 2018. Ia termasuk pengerusi Angkatan Hebat Sdn. Bhd., ahli lembaga pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd, pengarah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA).

Menerusi rakaman Google Meet secara maya, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut melahirkan ucapan tahniah kepada tokoh Maal Hijrah ini kerana sumbangannya dalam perkembangan Islam di Sabah.

“Jasa yang dicurahkan Tan Sri dalam membantu perkembangan Islam di negeri ini akan sentiasa dihargai,” katanya.

Ampong berkata, beliau amat menghargai anugerah yang dikurniakan terhadapnya kerana anugerah sebegitu bukan mudah untuk diterima.

Maka, beliau berharap anugerah sebegitu dapat memberi inspirasi kepada insan lain untuk sama-sama menyumbang tenaga bagi mengembangkan syiar Islam di negeri ini. -UTUSAN ONLINE

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top