Tamu “Miyolon-Ensambiyan” Aidilfitri Boleh Dipromosi Sebagai Produk Pelancongan – Yakob

Yakub.jpg

Yakub ketika melancarkan Tamu Miyolon Ensambiyan Aidilfitri di Kg Darau. (Foto: Ihsan Datuk Yakub Khan)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tamu “Miyolon-Ensambiyan” Aidilfitri merupakan budaya unik yang boleh dipromosikan sebagai sebahagian daripada produk pelancongan di Sabah.

ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan berkata, tradisi berusia lebih satu abad itu masih diamalkan terutamanya dalam kalangan masyarakat Bajau-Samah dan Kadazandusun.

“Secara peribadi, saya telah membesar sebagai sebahagian daripada masyarakat Bajau-Samah yang mengamalkan pertukaran barangan seperti kuih muih dan sarapan pagi bersama rakan dan keluarga lain daripada etnik Kadazandusun.

“Justeru, sambutan Aidilfitri pada tahun ini adalah istimewa terutama dalam kalangan masyarakat di Kampung Darau di sini kerana mereka mengadakan program Tamu ‘Miyolon-Ensambiyan’ Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

Program yang diadakan di Kampung Darau, di sini, anjuran bersama penduduk kampung dan Universiti Malaysia Sabah itu bertujuan menghidupkan tradisi dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbeza latar belakang.

Yakub yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi negeri berkata walaupun tradisi itu diadakan di beberapa tempat di negeri ini, hanya Kampung Darau yang aktif dan menganjurkannya secara besar-besaran.

“Saya juga dimaklumkan peserta datang dari sejauh Tamparuli, Kiulu dan Penampang menunjukkan mereka menghormati tradisi lama. Ini yang boleh dibanggakan.

“Ia juga mempunyai unsur sejarah yang boleh menarik pengunjung dan pelancong,” katanya sambil menambah beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk mengkaji menjadikan kampung itu sebagai sebahagian daripada destinasi pelancongan.

Tambah Yakub, kampung itu mempunyai keindahan tersendiri kerana ia boleh diakses melalui darat dan sungai.

Dengan menggabungkan semua elemen yang diperlukan, ia boleh membantu menjana pendapatan daripada pelancongan bukan sahaja untuk penduduk kampung tetapi juga orang lain dari kawasan sekitar.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan penduduk kampung dan pemimpin mereka supaya mencari lebih banyak produk selain daripada program tahunan Aidilfitri.

 

Berita asal: NST


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top