KUALA LUMPUR: Harga tiket penerbangan yang tinggi antara Sabah dan Semenanjung sekali lagi menarik perhatian umum apabila dibangkitkan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin di Parlimen, semalam.
Sambil menyifatkan ia sebagai masalah yang berterusan, Bung BN-Kinabatangan) menyatakan bahawa minggu ini, harga tiket kelas ekonomi untuk perjalanan sehala mencapai RM1,700, angka yang jauh lebih tinggi berbanding dengan perjalanan ke destinasi luar negara.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan syarikat penerbangan mana yang mengenakan tiket pada harga tinggi itu.
“Jika ke Singapura, Filipina, baru RM700, ke Indonesia RM600 dan ke Sabah, RM1,700. Teruk betul,” katanya sebagaimana dilaporkan BHarian semalam.
Pernyataan itu dibuat semasa perbahasan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat.
Isu harga tiket penerbangan yang tinggi untuk laluan domestik, terutamanya antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, telah lama wujud, sehingga kerajaan terpaksa mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat.
Bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju untuk meneruskan dua inisiatif bantuan pembelian tiket penerbangan. Inisiatif tersebut termasuk subsidi tiket penerbangan untuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bagi laluan domestik serta pengekalan harga siling tiket penerbangan RM599 antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak pada musim perayaan.