Tambang mahal, Bung Moktar gesa kerajaan kawal harga tiket penerbangan

Bung-1.jpg

(Gambar fail. Kredit: BERNAMA)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meluahkan rasa terkejut dengan harga tiket penerbangan yang didakwa terlalu mahal untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak terutama di musim cuti sekolah atau hari perayaan.

Katanya, ini bukan isu baharu kerana apabila cuti sekolah atau musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas ,harga tiket penerbangan akan melambung tinggi sehingga membebankan pengguna yang menggunakan penerbangan antara Sabah,Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Isu ini kerap berlaku, malah berulang kali saya suarakan di sidang Dewan Rakyat. Harga tiket penerbangan antara Sabah dan Kuala Lumpur terutama bila cuti sekolah atau pada musim perayaan akan mencecah sehingga RM 3,800 untuk perjalanan sehala,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat kelmarin.

Bung yang juga Ketua Umno Sabah menyifatkan perbuatan syarikat penerbangan terbabit tidak ubah seperti ‘menghisap darah’ rakyat.

“Masyarakat dari Sabah mengadu dan mengeluh dengan masalah sebegini, cukup-cukuplah ‘hisap darah’ rakyat, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dan ini sudah tentu akan membebankan ibu bapa yang anak-anak mereka belajar di Semenanjung untuk balik ke Sabah semasa cuti sekolah/unversiti atau pada musim perayaan utama,” katanya.

Sehubungan itu, Bung meminta Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan melihat perkara ini secara lebih serius, jangan sampai membebankan rakyat Sabah yang terpaksa berbelanja lebih tinggi untuk membeli tiket penerbangan dalam ekonomi negara yang semakin mencabar ketika ini.

Bung Moktar menambah, ramai rakyat Sabah di Semenanjung yang mahu balik ke Sabah, terpaksa membatalkan hasrat itu akibat tidak mampu membeli tiket penerbangan kerana terlalu mahal.

“Siapa pun syarikat penerbangan yang menjalankan perkhidmatan ini tolonglah jangan terlalu mengaut keuntungan dan jangan dera rakyat Sabah,” katanya.

Berita asal: Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top