KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau mencadangkan penambahbaikan pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan Artikel 1 (2) dan Artikel 160 (2) yang dijangka dibentangkan bagi bacaan kedua pada 14 Dis.
“Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 yang melibatkan Artikel 1(2) dan Artikel 160 (2), iaitu masing-masing takrifan Persekutuan Malaysia dan juga “Persekutuan” dijangka dibentangkan bagi bacaan Kedua pada 14 Dis.
“Saya menyokong penuh RUU ini. Cumanya saya bersama-sama YB (Yang Berhormat) Stampin (Chong Chien Jen) dan YB Kota Kinabalu (Chan Foong Hin) mencadangkan supaya pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut perlu ditambah, iaitu pindaan terhadap Jadual 9, Senarai 11A Perlembagaan Persekutuan, ‘Tambahan Terhadap Senarai Bersama Untuk Sabah dan Sarawak’ yang melibatkan kesihatan awam, perubatan dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Madius yang juga Presiden UPKO berkata, cadangan yang dibuat mereka itu adalah untuk memberikan kuasa kepada Sabah dan Sarawak dalam hal pendidikan, kesihatan awam dan perubatan secara perundangan.
“Kerajaan Warisan Plus di Sabah sebelum ini telah menubuhkan dua kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan dan Inovasi, dan juga Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan yang berkhidmat secara pentadbiran tanpa kuasa perundangan.
“Dengan langkah ini, Sabah dan Sarawak akan mempunyai kuasa untuk turut serta membantu kerajaan persekutuan dalam hal ehwal kesihatan awam, perubatan dan pendidikan,” katanya.