Tamatkan Prejudis Terhadap Pembangkang, Persepsi Negatif Terhadap Kerajaan – Khaled

khaled.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Prejudis terhadap pihak pembangkang dan persepsi negatif kepada kerajaan perlu ditamatkan bermula sekarang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, politik negara juga tidak boleh lagi terus berada di takuk lama sebaliknya paradigma baharu dalam amalan demokrasi mesti bersifat lebih meluas, terbuka dan progresif.

“Saya berharap supaya langkah besar yang dimulakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan disusuli dengan pelbagai tindakan yang lebih terangkum daripada kedua belah pihak.

“Semua adalah rakan penting dalam kesuburan demokrasi dan tatakelola yang baik. Malaysia adalah milik semua. Ia tanah air untuk semua dan kita mesti bersepakat deminya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas pertemuan Ismail Sabri bersama tiga pemimpin politik pembangkang iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di Pejabat Perdana Menteri petang semalam.

Dalam pertemuan yang julung kali diadakan itu, kerajaan berjaya mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Isnin lalu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Beliau juga menafikan kerjasama rentas parti yang dicadangkan bukan bermaksud membentuk kerajaan perpaduan seperti yang didakwa sesetengah pihak sebaliknya ia dilakukan untuk membantu kerajaan.

Dalam pada itu, kata Mohamed Khaled, persefahaman dan kenyataan bersama antara Ismail Sabri dengan kepimpinan Pakatan Harapan untuk bekerjasama dalam menyelesaikan kemaslahatan negara adalah permulaan era baharu yang sangat positif.

“Persetujuan bersama ini berlaku hanya tiga hari setelah Perdana Menteri menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama rentas parti dan ideologi dalam semangat Keluarga Malaysia,” katanya. -Utusan

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top