Tamatkan monopoli BERNAS, biar Sabah urus sendiri import beras

dr-jeffrey.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah mahu monopoli import beras yang ketika ini dipegang Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) ditamatkan supaya negeri ini boleh mengimport sendiri bahan makanan ruji itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata import beras seharusnya diurus sendiri negeri ini dengan pendekatan lebih rapi berdasarkan landskap sosial dan keunikan geografinya.

“Sudah tiba masanya Sabah bebas daripada kekangan monopoli entiti tunggal yang sudah begitu lama mencorak pasaran tempatan kita.

“Saya percaya perubahan ini dapat merangsang persaingan dan membawa kepada bekalan beras yang lebih stabil dan mungkin harga yang lebih rendah kepada pengguna di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata demikian mengulas isu peningkatan harga beras import susulan tindakan BERNAS menaikkan harga bahan makanan itu, baru-baru ini.

Katanya, cadangan mengurus sendiri import beras itu berikutan kebimbangan orang ramai di Sabah mengenai jangkaan peningkatan harga beras putih import sehingga 36 peratus seperti diumumkan BERNAS.

Peningkatan harga itu, katanya, bukan saja mengganggu kestabilan perbelanjaan isi rumah, malah boleh menjejaskan kebajikan keluarga berpendapatan rendah.

“BERNAS mesti telus dalam mekanisme harga dan tahap bekalan berasnya. Orang ramai berhak untuk mengetahui bagaimana harga ditentukan dan apa pendekatan diambil bagi menstabilkan pasaran,” katanya.

Selain itu, Jeffrey berkata BERNAS patut mengeluarkan stok tambahan daripada simpanannya memandangkan ia bukan aset perniagaan semata-mata.

Katanya, simpanan beras adalah sumber awam, khususnya ketika peningkatan permintaan atau berlaku ketidakstabilan pasaran seperti sekarang.

“Sudah tentu semua perniagaan mahu menjana untung, tetapi BERNAS mengendalikan bahan keperluan asas…jadi keuntungan tidak boleh datang dengan mengorbankan keperluan asas rakyat,” katanya.

Berdasarkan data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, katanya, import beras di Sabah mencapai 290,000 tan termasuk simpanan pada 2021, manakala pengeluaran beras tempatan hanya berjumlah 22,000 tan.

Jeffrey berkata, kementeriannya sedang berusaha mengurangkan pergantungan terhadap beras import menerusi pelbagai projek di bawah inisiatif pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi mencapai sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi dan beras di negeri ini kepada 60 peratus pada 2030.

Antara langkah diambil, katanya, dengan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah bagi membantu petani meningkatkan pengeluaran padi menerusi pembukaan semula sawah padi terbiar dan menaik taraf sistem pengairan sedia ada.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top