Tak Setuju Sulaiman Ketuai Kerajaan ‘Caretaker’, PH Melaka Akan Rujuk Mahkamah

adly.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Melaka akan merujuk mahkamah bagi memastikan keabsahan kerajaan negeri “caretaker” seperti yang diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, tidak wajar Datuk Seri Sulaiman Md Ali dibenarkan menerajui kerajaan negeri “caretaker”, selepas kerajaan pimpinannya hilang sokongan majoriti.

Beliau merujuk kes duluan pada 2 Mac 2020, di mana tugas pentadbiran kerajaan negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

“Merujuk sidang media Speaker DUN Melaka mengenai pembubaran DUN Melaka ke-14, jelas menunjukkan Sulaiman hilang kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membolehkan beliau terus memegang jawatan Ketua Menteri Melaka.

“PH juga berpandangan permohonan Sulaiman kepada Yang Dipertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka mempamerkan sikap beliau yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN Melaka selepas empat ADUN, iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman semalam.

Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mengumumkan pembubaran itu berkata, kerajaan negeri sedia ada akan mejadi ‘caretaker’ sehingga pilihan raya negeri diadakan.

Sementara itu, Adly membidas Sulaiman tidak bertanggungjawab kerana membuat permohonan untuk membubarkan DUN Melaka.

“Rakyat masih bergelut dengan pandemik Covid-19, malahan PRN Sarawak telah ditangguhkan atas alasan sama.” – FMT

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top