Tak Sertai Undi Belah Bahagi: PKR Sabah Tolak Alasan Rozman

razeef-rakimin-and-rosman-isli.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mengecam tindakan semua ahli Parlimen Warisan yang tidak menyertai undi belah bahagi di Dewan Rakyat semalam.

Ketuanya Razeef Rakimin turut menyelar sebab yang diberikan Ahli Parlimen Labuan,  Datuk Rozman Isli atas ketidakhadiran mereka, yang disifatkannya sebagai “kebudak-budakan”.

“Ini bukan masa untuk berpolitik hanya kerana tidak berpuas hati dengan rakan sekutu. Anda dipilih rakyat untuk berada di Parlimen mewakili rakyat yang memberikan amanah kepada anda. Maka jalankan tanggungjawab anda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pembangkang gagal menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (105 menyokong, 95 menentang) dan Kementerian Kewangan (106 menyokong, 95 menentang) menerusi undian belah bahagi.

Kesemua lapan ahli parlimen Warisan tidak hadir, selain beberapa ahli parlimen pembangkang dan kerajaan yang lain.

Semalam, Rozman berkata ahli Parlimen Warisan ada di Kuala Lumpur tetapi sepakat untuk tidak hadir undian belah bahagi sebagai isyarat berkenaan kekecewaan mereka terhadap PH.

Terutamanya, kata Rozman, arahan saat akhir Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk tidak menggesa proses belah bahagi ketika undian peringkat dasar Khamis lepas, justeru dia membayangkan betapa pembangkang memerlukan “kepimpinan baru”.

Warisan juga mahu memberi tekanan kepada PH agar memilih pemimpin baru kerana ia memberi kesan kepada peluang mereka menghadapi PRU, katanya lagi.

Razeef menyifatkan ahli parlimen Warisan sebagai angkuh dan sombong, dan mempersoalkan apakah mereka tidak faham tentang strategi.

Katanya, inilah kali pertama rakyat mengambil tahu setiap perincian belanjawan, berbanding sebelum-sebelum ini rakyat hanya menyerahkan 100 peratus kepada ahli parlimen sahaja.

“Kita sepatutnya menjadi pembangkang yang berkualiti dan bukan sibuk berpolitik di saat ketua pembangkang serta ahli Parlimen PH sibuk memastikan belanjawan sampai kepada rakyat,” katanya.

Dia juga tidak menolak kemungkinan ahli parlimen Warisan mendapat arahan daripada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang didakwanya marah kerana gagal mendapatkan sokongan 15 ahli parlimen untuk undi belah bahagi Khamis lalu.

Untuk rekod, undi belah bahagi Khamis lalu diminta oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, yang hanya mendapat 13 sokongan termasuk Mahathir. Ahli parlimen Warisan juga tidak mengikut PH untuk tidak menyokong permintaan itu.

Ketua Penerangan PKR Sabah Simsudin Sidek turut mengecam ahli parlimen Warisan yang menurutnya berdendam dengan Anwar kerana arahan tidak menyokong undian belah bahagi pada Khamis lalu.

“Anwar telah memberi penjelasan kepada semua ahli Parlimen pembangkang, namun ahli Parlimen Warisan tetap bersepakat untuk tidak hadir dengan alasan sebagai cara menghantar isyarat kepada PH.

“Kepimpinan Warisan harus sedar sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik atau menunjukkan rasa tidak puas hati kerana pembangkang harus bekerjasama bagi membela rakyat dalam situasi kemelesetan ekonomi dan wabak Covid-19,” katanya.

Dia meminta parti itu agar mengambil iktibar daripada kekalahan pilihan raya negeri (PRN) Sabah lalu, dan mengingatkan perpecahan hanya akan merugikan pembangkang sendiri.

 

Foto: FMT

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top