Tak Boleh Pemilihan Secara Maya, UMNO Bukan Parti Kecil, Kata Ahli MKT

Dard-and-Rosnah.jpg
Kongsi Bersama

Pemilihan Umno tidak boleh diadakan secara maya kerana dibimbangi menjadi pertikaian yang membawa kepada pergolakan baharu dalam parti, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, keputusan pemilihan secara maya juga dikhuatiri akan terdedah kepada pelbagai aduan sekali gus menyebabkan pertikaian berpanjangan dalam parti.

Bercakap kepada FMT beliau berkata, sebagai parti berpaksikan kepada akar umbi bukan mudah untuk membangunkan satu sistem pemilihan dalam talian bagi tiga juta ahlinya.

“Umno bukan sebuah parti kecil yang senang nak diatur. Setiap inci di seluruh negara ada cawangan Umno. Lagipun, kita tiada pengalaman mengadakan pemilihan secara maya.

“Jangan cakap pasal (pemilihan) pusat, keputusan di bahagian juga akan dipertikaikan jika terdapat sebarang keraguan dan ia tentunya akan menyebabkan kekeruhan lebih teruk,” katanya yang menyambut baik penangguhan pemilihan parti itu.

Terdahulu Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu FMT bahawa Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan atau sehingga situasi pulih susulan wabak Covid-19.

Katanya, walaupun pemilihan boleh dijalankan secara maya, ia mustahil ketika ini kerana tiga juta ahli di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara perlu bermesyuarat dan mendengar maklum balas akar umbi dalam proses itu.

Seorang lagi ahli MKT, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang turut menyambut baik penangguhan pemilihan menjelaskan ia tidak bermakna pemilihan parti perlu menunggu sehingga 18 bulan.

“Jika keadaan telah pulih dalam tempoh lebih awal daripada itu, tidak salah untuk kita adakan pemilihan parti sebagai proses demokrasi,” katanya.

Cadangan supaya pemilihan diadakan secara maya juga dipertikaikan kerana capaian jalur lebar di kawasan pedalaman khususnya di Sabah diyakini tidak mampu menampung sistem pemilihan secara dalam talian.

“Justeru tangguhkan pemilihan dan mesyuarat cawangan serta bahagian adalah jalan terbaik sebelum kita dapat tangani wabak Covid-19 dengan baik,” katanya.

 

Baca seterusnya di: FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top