Tahap Pematuhan SOP Merosot, Sabah Catat 514 Kes Semalam

covid-test.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tahap pematuhan terhadap SOP kesihatan oleh orang awam terus menurun di Sabah dalam pada negeri ini merekodkan 514 kes Covid-19 sejak Khamis sehingga semalam, iaitu jumlah tertinggi setakat tahun ini.

Keseluruhannya, Sabah merekodkan 42,802 kes, menjadikannya negeri kedua di belakang Selangor dengan tahap jangkitan tertinggi di negara ini, apabila lebih 2,800 orang masih dirawat sama ada di hospital atau pusat rawatan risiko rendah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah kes yang tinggi semalam juga disebabkan saringan besar-besaran di Ladang Baturong di daerah Kunak serta Ladang Matamba di Lahad Datu. Kedua-duanya kluster baru di negeri ini.

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan mengarahkan semua syarikat perladangan supaya mengadakan saringan Covid-19 untuk semua kakitangan dan pekerja susulan dua kluster baharu yang menyumbangkan kepada 74 kes semalam.

Syarikat terbabit juga diminta menyediakan kemudahan kesihatan serta pusat risiko rendah di premis mereka sekiranya pekerja mereka perlu diasingkan, tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, jangkitan kontak rapat menyumbang 61% atau 314 kes baharu, yang juga sama sebelum ini ketika tempoh selepas tahun baharu.

Menurutnya, tahap pematuhan SOP di kebanyakan daerah menurun 93%.

“Keseluruhannya, ada 19 daerah dengan cuma 93% pematuhan (berbanding lebih tinggi sebelum ini)… Mungkin orang masih terkejut dengan pengumuman PKP,” katanya dalam taklimat Covid-19 pada Jumaat.

“Namun pada masa sama, ini juga menunjukkan seolah-olah kita tidak berdepan krisis kesihatan.

“Jika kita pergi ke kebanyakan pekan, dapat dilihat bahawa ramai mempunyai sikap sambil lewa seolah-olah kita tidak berdepan masalah besar.

“Kita perlu memandang serius isu ini – jika benar-benar menyayangi keluarga dan rakan-rakan, semua orang mesti mematuhi SOP.”

Masidi berkata ketua polis Sabah Datuk Hazani Ghazali turut memberi jaminan kepadanya bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang didapati melanggar peraturan tanpa mengira status sosial mereka.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata kerajaan membenarkan semua kilang tepung di negeri ini beroperasi 24 jam ketika PKP, tetapi hanya boleh menggunakan 50% tenaga kerja untuk setiap syif.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju memberi peruntukan tambahan untuk bantuan bakul makanan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top