Tabung Kasih@HAWANA bantu 147 pengamal media setakat ini

Fahmi-editor-sakit.jpg

Fahmi (dua kanan) bersama Goh (kanan) ketika pertemuan itu.

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kelmarin menyantuni pengamal media yang sedang diuji dengan masalah kesihatan serta musibah banjir.

Fahmi yang kini dalam lawatan kerja ke Sabah sempena Sambutan Hari Malaysia 2024, menyampaikan bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA kepada editor sambilan New Straits Times (NST), Roy Goh di Penampang.

Goh, 54, disahkan menghidap angin ahmar atau strok sejak Julai 2018 yang menyebabkan pergerakannya terbatas kerana bahagian tangan dan kaki kanannya lemah.

Kini, beliau menjalani rawatan secara berkala. Selain itu, kediamannya pula mengalami kerosakan selepas dilanda banjir.

Goh mula berkecimpung dalam dunia kewartawanan sejak 1993 sebagai editor di Borneo Mail selama lapan tahun.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai koresponden The Sun pada 2001, Ketua Editor di Borneo Post dari 2001-2004 dan sebagai editor tetap NST selama 14 tahun dari 2004-2018.

Goh merupakan penerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA ke-147 sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April 2023.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi menyantuni wartawan dan pengamal media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, uzur atau memerlukan bantuan.

Turut hadir Menteri Keusahawanan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita BERNAMA, Nasriah Haji Darus. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top