Syor Reformasi Sistem Pilihan Raya: Kelebihan Pemerintah Dikurangkan

pilihan-raya.jpg
Kongsi Bersama

Syor yang dikemukakan jawatankuasa khas untuk mereformasi sistem pilihan raya akan menyaksikan transformasi pilihan raya umum di Malaysia termasuk cadangan yang akan mengurangkan kelebihan kerajaan memerintah berbanding pencabarnya.

Salah satu daripada 49 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) adalah menamatkan teka-teki tarikh pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam laporan yang dikemukakan kepada Putrajaya pada Ogos, ERC berkata notis awal sekurang-kurangnya enam bulan patut diberikan supaya parti-parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih bersedia apabila Parlimen dibubarkan.

Di bawah undang-undang sekarang, kerajaan memerintah mempunyai prerogatif untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa yang dimahukan.

“Pembubaran Dewan secara mengejut akan menyebabkan parti-parti pembangkang atau mana-mana orang yang ingin bertanding berada dalam keadaan yang tidak bersedia. SPR juga menghadapi kesukaran, terutamanya dalam persediaan logistik serta lantikan dan latihan kepada petugas-petugas pilihan raya,” kata laporan ERC yang dilihat MalaysiaNow.

Sebelum ini spekulasi sering timbul dalam kalangan ahli-ahli politik dan penganalisis tentang tarikh pilihan raya umum walaupun masa masih panjang sebelum mandat lima tahun berakhir.

Pada 2018, perdana menteri pada ketika itu Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan untuk menunggu sehingga mandat Barisan Nasional berakhir sebelum mengadakan pilihan raya selepas spekulasi timbul beberapa bulan sebelumnya.

ERC berkata, amalan mengumumkan pembubaran Parlimen lebih awal turut dilaksanakan di New Zealand dan menambah Perdana Menteri Jacinda Ardern mengumumkan pembubaran Parlimen pada Januari tahun ini, lebih kurang 10 bulan sebelum mandat kerajaannya berakhir pada Oktober.

Antara syor ERC akan menyaksikan tradisi berhimpun semasa hari penamaan calon dimansuhkan.

Jawatankuasa itu berkata, penamaan calon boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlunya pihak berkuasa menyediakan logistik untuk mengawal orang ramai dan memastikan ketenteraman antara penyokong calon yang bertentangan.

“Kehadiran anggota polis yang terlalu ramai, meskipun tujuannya adalah untuk menjaga ketenteraman awam, tidak melambangkan unsur demokrasi yang diinginkan seperti yang diamalkan oleh di negara-negara maju,” tambah laporan itu.

Laporan itu juga mengesyorkan tempoh penamaan calon yang lebih lama sehingga beberapa hari berbanding tempoh satu jam sebelum pencalonan disahkan dan diumumkan pegawai pengurus.

Ia memetik beberapa contoh negara lain di mana tempoh penamaan calon selama beberapa hari seperti di United Kingdom (3 hari), New Zealand (5 hari), India (7), Australia (14) dan Afrika Selatan (16).

“Tempoh selama satu jam terlalu singkat dan memberi tekanan kepada pihak yang ingin menyerahkan borang pencalonan,” kata laporan ERC.

ERC berkata, penamaan calon secara dalam talian juga dapat mengelakkan ketegangan antara penyokong-penyokong parti politik yang berhimpun di pusat penamaan calon.

 

Jawatankuasa itu turut mencadangkan tempoh berkempen antara 14 hingga 21 hari dengan undang-undang menetapkan hari mengundi diadakan pada hari Sabtu.

Pada pilihan raya sebelum ini kerajaan kebiasaannya menetapkan tempoh berkempen kurang dari dua minggu.

Pada 2018 kempen pilihan raya berlangsung selama 11 hari berbanding 15 hari pada 2013. Tetapi masih lama berbanding tempoh berkempen pada 1980-an dan 1990-an.

Pada 1999, kempen selama sembilan hari ditetapkan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pilihan raya diadakan ketika penentangan terhadap kerajaan memuncak selepas Anwar Ibrahim dipecat setahun sebelumnya.

ERC turut mencadangkan tempoh bertenang lebih panjang di mana semua bentuk kempen pilihan raya diharamkan.

Pada ketika ini, parti-parti politik dan calon boleh berkempen sehingga tengah malam sebelum hari mengundi.

“Tempoh bertenang selama dua hari akan memberi ruang kepada para pengundi untuk membuat penilaian secara rasional sebelum melangkah ke pusat mengundi. Pihak yang bertanding pula perlu menurunkan bahan-bahan kempen semasa tempoh bertenang,” kata ERC.

Putrajaya baru-baru ini mengumumkan jawatankuasa khas Kabinet diketuai Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengkaji 49 syor dikemukakan ERC.

ERC yang diketuai bekas pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan untuk membaiki kelemahan dalam sistem pilihan raya.

Semalam Rashid melahirkan keyakinan kesemua 49 syor dikemukakan akan dilaksanakan dan menambah sesetengah daripadanya akan dilaksanakan segera.

Bercakap kepada MalaysiaNow Ketua Eksekutif ERC Amerul Muner Mohamad berkata proses pengundian antara tiga masalah utama yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan jika mahu memastikan pilihan raya adil.

Katanya, kelemahan mana-mana proses dalam pilihan raya akan melemahkan keseluruhan sistem pilihan raya itu sendiri.

“Jadi tidak boleh ada satu kesalahan pun kerana ia akan mencerminkan integriti SPR itu sendiri.”

 

MalaysiaNow


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top