Syed Saddiq lepaskan jawatan Presiden MUDA

syed-saddiq-1.jpg

Syed Saddiq di Mahkamah pada 9 Nov 2023. (Gambar: BERNAMA)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melepaskan jawatannya sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta-merta pada Khamsi (9 Nov), susulan keputusan mahkamah mendapati beliau bersalah terhadap pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Beliau berkata jawatan itu akan dipangku sementara waktu oleh Timbalan Presiden MUDA Amira Aisya Abd Aziz dan keputusan itu telah dipersetujui secara kolektif oleh mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA pada Khamis.

Biarpun masih ada ruang untuk membuat rayuan, dan beliau masih lagi berstatuskan Ahli Parlimen, Syed Saddiq berkata keputusan itu perlu dibuat memandangkan institusi presiden dan MUDA itu lebih besar berbanding beliau.

“Saya ingin maklumkan, apabila MUDA diasaskan, kami ingin membawa politik baharu. Dan ini melangkaui kepartian dan personaliti semata-mata.

“Saya mengosongkan jawatan Presiden serta-merta sementara membersihkan nama saya melalui proses mahkamah.

“Saya tidak akan melibatkan diri atau dilibatkan lagi dalam mana-mana keputusan dalam Parti MUDA dan yang berkaitan dengan masa depan MUDA, namun saya akan terus mendukung parti ini sebagai ahli,” katanya pada sidang media khas.

Pada pagi Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Syed Saddiq, 30 tahun, bersalah dan dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta (S$2.9 juta) atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada.

Sementara itu, Cik Amira Aisya yang kini memangku jawatan presiden parti itu berkata Parti MUDA menghormati keputusan mahkamah dan perjuangan Syed Saddiq dalam parti itu tetap diteruskan demi membawa landskap politik baharu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top