KOTA KINABALU: Pemeriksaan pematuhan SOP Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara dan juga pemeriksaan bekalan serta harga telur ayam pelbagai saiz oleh pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri Sabah telah dijalankan di syarikat pengilang telur ayam dan syarikat pemborong utama telur ayam yang terletak di Jalan Lama Kimanis dan kawasan Kinarut, Papar, Sabah.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua syarikat perniagaan berkenaan mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa Kedua di bawah Akta 342.

Pegawai-pegawai KPDNHEP sedang membuat pemeriksaan di premis berkenaan.
Pemeriksaan ke atas bekalan telur ayam mendapati jumlah keseluruhan stok semasa telur ayam di syarikat pengilang dan pemborong berkenaan adalah sebanyak 954,000 biji.
Syarikat pengilang tersebut mengedarkan telur ayam di kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah sehingga ke Wilayah Persekutuan Labuan manakala kawasan edaran telur ayam bagi syarikat pemborong yang diperiksa adalah di sekitar daerah Papar hingga ke Kinarut.
Kedua-dua syarikat terbabit didapati masih dapat memenuhi permintaan bekalan telur ayam di kawasan edaran masing-masing.