TAWAU: Syarikat korporat terutamanya milik bumiputera Islam diminta tampil melakukan pembayaran zakat perniagaan supaya lebih ramai lagi golongan memerlukan dan asnaf dapat dibantu di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemberian zakat itu mampu meringankan beban dan memberi keselesaan kepada golongan memerlukan.
Katanya, syarikat korporat digalakkan menunaikan zakat perniagaan mereka kepada badan yang dilantik oleh kerajaan seperti Pusat Zakat Sabah (PZS).
“PZS sudah menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus terutamanya menyalurkan bantuan-bantuan hasil kutipan zakat daripada syarikat korporat dan orang ramai kepada golongan yang betul-betul layak.
“Kita yakin sistem kutipan zakat yang dikendalikan oleh PZS adalah mengikut syarak yang dibenarkan dan orang ramai boleh memberikan zakat mereka tanpa ragu-ragu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Zakat kepada asnaf di Kampung Titingan, di sini semalam.
Menurutnya, umat Islam yang mempunyai kelebihan pendapatan juga diminta supaya mengambil kesempatan pada bulan Ramadan ini untuk mempertingkatkan amalan bersedekah mereka.
“Ramadan adalah bulan untuk memperbanyakkan ibadah terutamanya membantu golongan kurang bernasib baik yang berada di persekitaran kita.
“Masih ramai lagi golongan asnaf dilihat masih memerlukan bantuan di daerah ini dan ia menjadi tanggungjawab mereka yang mempunyai kelebihan untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam berharap semua asnaf yang menerima bantuan zakat ini dapat menggunakannya untuk membeli keperluan harian keluarga mereka.
“Gunakanlah bantuan zakat ini dengan perkara-perkara yang betul dan jangan digunakan untuk membeli barang yang tidak berfaedah.
“Saya berharap supaya bantuan zakat ini dapat meringankan beban golongan asnaf terutamanya dalam menjalani bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri akan datang,” katanya. – Utusan Borneo