Syarat Pengeluaran i-Sinar Akan Dimansuhkan

kwsp.jpg
Kongsi Bersama

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar, membolehkan pencarum berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1, tertakluk kepada bakinya, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Zafrul berkata, langkah ini diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

“KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam,” kata Zafrul dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Januari lalu, Muhyiddin memberi jaminan kerajaan akan memudahkan pengeluaran kemudahan i-Sinar KWSP yang pada ketika itu sudah meluluskan lebih tiga juta permohonan berjumlah RM24 bilion.

Katanya, penambahbaikan akan dilakukan ke atas Program i-Sinar terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) serta bencana banjir.

Zafrul berkata, bagi pencarum yang sudah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Katanya, KWSP memaklumkan bahawa jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

“Bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka”.

Bagaimanapun Zafrul berkata, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top