TAWAU: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas dengan tertangkapnya dua lelaki warga asing bersama dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM60,000.
Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 4.30 pagi Selasa di sebuah kawasan perumahan di sini, polis berjaya merampas dadah seberat 1.03 kilogram
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua lelaki warga asing yang ditangkap itu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
Semasa serbuan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kawasan perumahan tersebut.
“Apabila anggota kita menahan dan melakukan pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek, polis berjaya merampas sebuah beg yang dipegang oleh salah seorang lelaki tersebut.
“Hasil pemeriksaan terhadap beg itu menemukan sebungkus plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 1033.30 gram yang dianggarkan bernilai RM60,000.
“Kedua-dua suspek warga asing itu kemudiannya ditahan dan salah seorang suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang akhbar kelmarin.
Jasmin berkata, pihakya turut merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan oleh suspek bagi tujuan pengedaran dadah.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Jelasnya, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis syabu.
Pemeriksaan lanjut, mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun siasatan akan dijalankan bagi mengetahui rangkaian kegiatan pengedaran dadah berkenaan. – Borneo Today